Kitab Lelaki

Bahaya Kanser Prostat : Kenali Petanda, Tahap Dan Rawatan

Apa Itu Kanser Prostat?

Kanser prostat terjadi di dalam kelenjar prostat. Doktor mempercayai bahawa kanser prostat bermula dari perubahan yang sangat kecil ukurannya dan bentuk seperti sel-sel kelenjar prostat. Perubahan ini dikenali sebagai PIN (prostatic intraepithelial neoplasia). Hampir separuh dari pesakit yang menghidapi PIN setelah berusia 50 tahun dan ke atas. Pesakit yang mengalami PIN akan mengalami perubahan sel-sel kelenjar prostat

Tahap keseriusan kanser prostat boleh menentukan sejauh mana kanser tersebut telah merebak. Pengetahuan tentang tahap keseriusan kanser ini membolehkan doktor pakar menentukan rawatan yang sepatutnya dijalani oleh pesakit tersebut.

Tanda-tanda Awal Kanser Prostat

Kanser prostat di peringkat awal sering kali tidak menunjukkan apa-apa gejala. Apabila tanda-tandanya muncul, ia mungkin melibatkan beberapa masalah berikut:

  • Sering membuang air kecil terutamanya pada waktu malam
  • Kesukaran sewaktu mula membuang air kecil atau air kencing yang tertahan
  • Tidak boleh mengeluarkan air kencing
  • Aliran air kencing yang lemah atau tersekat-sekat
  • Kesakitan atau kepanasan semasa mengeluarkan air kencing
  • Terasa sakit ketika air kencing keluar
  • Terdapat darah dalam air kencing atau air mani
  • Sering mengalami kesakitan atau ketegangan di bahagian belakang, pinggang, atau paha.

Bagaimana Cara Mengesan Kanser Prostat?

Kanser prostat dapat dikesan dengan menjalani pemeriksaan prostat melalui rektum dan membuat ujian PSA dalam darah. Sekiranya tahap PSA tinggi, ujian biopsi dilaksanakan olek pakar urologi untuk memastikan kehadiran kanser. Semasa ujian biopsi pakar urologi akan mengambil contoh sel-sel prostat menggunakan jarum melalui rektum setelah diberi ubat kebas. Contoh sel-sel ini akan dikaji oleh ahli patologi, iaitu seorang doktor yang pakar dalan kaji penyakit. Pakar patologi akan mengesahkan sama ada seseorang itu mempunyai kanser atau tidak.

Kanser prostat boleh dihuraikan dari segi gred dan tahap

Gred menerangkan bagaimana tumor itu menyerupai tisu-tisu prostat yang normal. Berasaskan dapatan kajian biopsi melalui mikroskop, pakar patologi melaporkan kanser prostat sebagai gred rendah, sederhana atau tinggi. Salah satu sistem yang digunakan untuk menyalurkan gred kanser prostat ialah sistem Gleason. Ia menggunakan skor dari 2 hingga 10. Skor yang tinggi menunjukkan gred yang tinggi. Tumor gred tinggi biasanya membiak lebih cepat dan mempunyai besar kemungkinan untuk merebak jika dibandingkan dengan tumor gred rendah.

Tahap pula menunjukkan sejauh mana kanser itu telah merebak.

Empat tahap dalam kanser prostat

Tahap ini diambil kira dari segi saiz tumor tersebut, sama ada nod limfa telah dijangkiti atau sama ada tumor tersebut telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Tahap 1: Kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada simptom apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

Tahap 2: Kanser masih berada dalam kelenjar prostat, tetapi kebengkakan boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

Tahap 3: Kanser telah pecah melalui selaput prostat dan kemungkinan besar telah merebak ke bahagian seminal.

Tahap 4: Kanser telah merebak ke bahagian pelvis (tulang pinggul), atau telah merebak ke nod limfa atau bahagian-bahagian badan yang lain, seperti tulang, hati atau paru-paru.

Bagaimana Kanser Prostat Merebak?

Kanser prostat merebak melalui saluran limfa dan darah. Kanser prostat kerap merebak ke tulang berbanding bahagian-bahagian tubuh yang lain.

Untuk mengenal pasti tahap kanser ujian ultrasound, skan tulang dan skan berkomputer untuk paru-paru, abdomen dan pelvis dijalankan.

Peringkat TNM Dalam Kanser Prostat

Para pakar dan doktor menggunakan sistem berperingkat yang rumit yang juga dikenali sebagai sistem TNM. Kaedah ini digunakan di seluruh dunia.

Ia mengimbas 3 bahagian iaitu:

  • Tumor (T)
  • Nod Limfa (N)
  • Kanser peringkat kedua atau Metastises (M).

Biasanya doktor akan mengulas lanjut secara peribadi dengan pesakitnya mengenai kaedah pengesanan kanser dan peringkat-peringkat atau tahap keseriusan kanser dengan lebih mendalam.

Kaedah Rawatan

Tidak semua lelaki yang didiagnosis dengan penyakit tersebut memerlukan rawatan serta-merta. Sesetengah sel kanser tumbuh secara perlahan dan mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih sebelum menimbulkan masalah atau merebak. Doktor akan mengawasi perkembangan pesakitnya dan memeriksa secara berkala untuk memeriksa pertumbuhan kanser dengan melakukan ujian DRE dan PSA. Beberapa kaedah rawatan akan dijalani ke atas pesakit-pesakit kanser prostat bergantung kepada tahap keseriusan penyakit yang dihidapinya.

Antara kaedah-kaedah rawatan tersebut ialah melalui;

1. PEMBEDAHAN

Pembedahan melibatkan penyingkiran seluruh prostat dengan sempurna untuk menghindarkan kanser ini daripada berulang dan menjadi lebih teruk. Rawatan cara ini disyorkan hanya jika tumor bertumpu pada prostat. Jenis pembedahan antaranya termasuk:

(a) Prostektomi retropubik radikal adalah tatacara pembedahan apabila kelenjar prostat disingkirkan melalui insisi pada abdomen.

(b) Prostektomi perineum radikal adalah tatacara pembedahan apabila kelenjar prostat disingkirkan melalui insisi pada kawasan di antara dubur dan skrotum (perineum).

(c) Prostektomi radikal secara laparoskopi ialah tatacara yang agak tidak invasif dan bergantung pada teknologi moden, seperti optik fiber (fiber optics) dan teknik pengecilan (miniaturization). Teknik ini bukanlah rawatan baru untuk kanser prostat. Teknik ini ialah bentuk moden bagi rawatan yang paling lama untuk kanser prostat.

(d) Tatacara prostektomi robotik menggunakan sistem pembedahan moden yang membantu pakar bedah anda melihat struktur anatomi yang penting dan untuk melakukan tatacara pembedahan yang lebih jitu.

Kesan sampingan :

    1. Inkontinens urinari (hilang kawalan pundi kencing)
    2. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
    3. Perubahan ukuran panjang zakar

2. TERAPI RADIASI 

Tujuan terapi radiasi adalah untuk memusnahkan sel kanser dan merencatkan pertumbuhannya. Kanser sel yang membiak dengan pantas lebih mudah dimusnahkan oleh radiasi daripada sel normal yang bersebelahan. Terdapat 2 jenis terapi radiasi:

(a) Terapi radiasi alur luaran (external beam radiation therapy EBRT) ialah rawatan setempat, yang bermaksud bahawa radiasi ditujukan hanya pada sesuatu bahagian khusus tubuh.

(b) Terapi radiasi dalaman atau dikenali juga sebagai brakiterapi, ialah suatu kaedah yang sumber radiasinya ditempatkan di dalam tubuh. Kaedah ini secara amnya hanya digunakan pada lelaki yang mengalami kanser prostat tahap awal, yang kansernya tumbuh agak lambat.

(c) Terapi radiasi intensiti termodulasi (intensity modulated radiation therapy IMRT) ialah  salah satu kaedah terkini dan paling hebat dalam rawatan kanser prostat. IMRT melibatkan penggunaan alur radiasi yang lebih halus untuk disasarkan dengan tepat pada tumor dan mengelakkan organ yang berdekatan daripada radiasi. Dengan ini  IMRT mengurangkan kesan sampingan dan kawasan terbakar pada pesakit berbanding dengan kaedah yang lebih konvensional.

Kesan sampingan :

  1. Cirit-birit atau gangguan lain pada fungsi usus
  2. Rasa hendak kencing yang lebih kerap
  3. Rasa lesu
  4. Rektum berasa tidak selesa, pedih atau sakit
  5. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
  6. Lemah kawalan kencing

3. TERAPI HORMON

Rawatan dengan hormon ialah rawatan pilihan untuk lelaki yang mengalami kanser yang telah merebak jauh ke luar prostat. Rawatan dengan hormon boleh diberikan beberapa bulan sebelum radioterapi atau pembedahan untuk membantu rawatan susulan ini supaya lebih berkesan. Rawatan dengan hormon tidak bertujuan untuk menyembuhkan kanser tetapi dapat membantu mengecutkan kanser tersebut atau melenyapkan gejala untuk kebanyakan lelaki.

(a) Rawatan Hormon Dengan Pembedahan

  • Orkidektomi – Ini ialah istilah perubatan untuk penyingkiran buah zakar secara pembedahan dan ia adalah pembedahan yang kecil. Kaedah ini mengehadkan kadar testosteron yang ada, yang menggalakkan pembiakan kanser.

(b) Suntikan Hormon

  • Analog LHRH – Kumpulan ubat ini lazimnya diberikan dalam bentuk suntikan di bawah kulit sama ada secara bulanan atau setiap 3 bulan bergantung pada sediaan depot ubat tersebut. Ubat ini bertindak dengan merencat penghasilan testosteron di dalam buah zakar. Dengan ini tindakannya agak serupa dengan orkidektomi.
  • Antiandrogen – ubat ini bertindak pada reseptor testosteron dalam prostat untuk menghalang tindakan hormon pada kelenjar dan kanser.

Kesan sampingan :

  1. Hilang libido (nafsu seks)
  2. Berat badan meningkat
  3. Tubuh berasa panas sekali-sekala
  4. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
  5. Osteoporosis (tulang menjadi semakin lembut)
  6. Tetek membengkak
  7. Cecair tertahan di dalam tubuh
  8. Mood berubah-ubah

4. KEMOTERAPI

Kemoterapi ialah kaedah yang menggunakan ubat yang kuat untuk menyerang sel kanser. Terdapat banyak ubat kemoterapi yang berbeza, setiap satu dengan kelebihan dan kekurangannya. Sering kali ubat-ubat tersebut digunakan secara bergabung. Sementara sesetengahnya disuntikkan secara langsung ke dalam vena atau otot, yang lain mungkin diambil melalui mulut.

Kesan sampingan :

  1. Cirit- birit
  2. Loya
  3. Rambut gugur
  4. Muntah-muntah
  5. Darah kurang berupaya untuk menggumpal
  6. Penindasan fungsi tulang sumsum

• Meet the Author ➞ kitablelaki1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!