Kitab Lelaki

3 Langkah Penting Dapatkan Kulit Wajah Yang Licin

Jadi lelaki ini mudah. Semua benda mahu nampak mudah dan cepat. Sampaikan bab kebersihan pun, kadang-kadang sebuku sabun itu digunakannya untuk mencuci badan, mencuci muka dan kadang-kadang digunakan untuk mencuci rambut. Namun, untuk memiliki kulit wajah yang sihat, adakah kaedah begitu selamat?

Untuk dapatkan kulit wajah yang sihat dan bersih, ia bukanlah sesuatu yang sukar dan mustahil bagi anda yang mementingkan gaya penampilan diri. Cuma perlu konsisten dengan tiga langkah penting penjagaan wajah yang akan kami kongsikan. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda.

Langkah 1: Membersih dan Exfoliate

Salah satu petua untuk mendapatkan kulit muka yang licin adalah dengan menjaganya dengan baik. Baik membawa maksud anda kerapkan mencucinya dari sebarang kotoran dan minyak yang berlebihan. Selepas itu, anda perlu mengamalkan kaedah exfoliate yang betul. Jom ketahuilah beberapa langkah berikut :

1. Pilih pencuci muka yang sesuai dengan jenis kulit

  • Pastikan anda membeli dan menggunakan pencuci muka khas mengikut kesesuaian kulit muka anda.
  • Memilih pencuci muka yang berkualiti mampu membersih dan menyegarkan wajah dari sebarang kotoran dan minyak, terutamanya yang terdapat dalam riang roma.
  • Pencuci muka untuk menghilangkan minyak pada muka adalah lebih sesuai dan selamat untuk semua jenis kulit muka, lebih-lebih lagi jika mereka yang memiliki kulit sensitif dan berjerawat.
  • Jika anda mempunyai masalah jerawat, pastikan anda mencari pencuci muka yang mengandungi salicylic acid, glycolic acid, ataupun benzyl peroxide. Bahan-bahan tersebut mampu merawat jerawat dan bertindak sebagai anti-bakteria.
  • Jangan sesekali gunakan gel mandian badan (shower gel) atau sabun untuk tujuan membersihkan muka kerana kesannya boleh menyebabkan kulit muka menjadi kering atau keradangan. Anda digalakkan untuk memilih pencuci muka yang dibuat khas dan sesuai untuk kulit muka anda.

2. Cuci muka setiap hari

  • Mencuci muka dengan kerap boleh mengeringkan muka anda. Cukuplah sekadar sekali waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum anda tidur.
  • Jika anda ingin menyegarkan muka, cukup sekadar membilas muka dengan air (seperti mana anda mengambil wudhuk).
  • Jangan menggunakan air panas semasa mencuci muka. Ia boleh keringkan muka anda dengan cepat. Sebaik-baiknya air sejuk yang sedikit suam kerana ini akan menjadikan wajah anda lebih segar dan bermaya.
  • Selepas mencuci muka, elak perbuatan menggosok muka, sebaliknya tekap perlahan-lahan dengan tuala atau kain lembut sehingga kering.

 

3. Hindari tidur dengan memakai krim tabir suria (sunscreen)

  • Jika anda memakai produk krim tabir suria, sebaik-sebaiknya anda membilasnya terlebih dahulu sebelum masuk tidur. Kebiasaannya produk seperti ini mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh merosakkan kulit muka jika dibiarkan terlalu lama.

 

4. Exfoliate secara berkala

  • Penggunaan skrub muka (face scrub) tiga kali dalam seminggu secara berkala boleh menghilangkan sel-sel kulit yang mati.
  • Exfoliate boleh memberikan kulit anda lebih cerah dan lebih sihat. Selain itu, ia boleh memudahkan anda mencukur kerana bulu dan kulit akan menjadi lebih lembut selepas aplikasi.
  • Pastikan anda menyapu dan menggosok-gosokkan skrub muka secara perlahan-lahan. Sebaik-baiknya gunakan berus  yang dibuat khas untuk muka.
  • Sebelum aplikasi, gunakan berus tersebut untuk menanggalkan sel kulit yang sudah mati. Pastikan kulit anda kering sebelum menggunakan berus tersebut kerana ia kurang efektif jika menggunakannya ketika kulit basah.

Langkah 2: Melembapkan Kulit 

Kelembapan kulit adalah salah satu faktor yang penting untuk mendapatkan kulit yang cantik dan licin. Mungkin lelaki kurang mengamalkan kaedah ini, namun ia boleh memberikan anda hasil yang sangat baik, cubalah!

1. Kerapkan penggunaan krim pelembap

Sama ada anda menggunakan krim, minyak, ataupun produk yang lain, adalah langkah terbaik sekiranya anda menggunakan pelembap setiap hari, selepas cucian.

Pelembap boleh mengekalkan keanjalan kulit dan mengelakkan kegatalan kulit. Pilih produk pelembap yang sesuai dengan jenis dan keadaan kulit anda.

Sekiranya kulit anda mudah kering, maka pilihlah pelembap yang mengandungi minyak zaitun, minyak argan, ataupun lanolin. Sekiranya kulit anda berminyak, pilihlah pelembap yang mengandungi bahan yang tidak mengekalkan minyak pada muka anda.

2. Lembapkan Sekitar Mata

Sekiranya anda tidak melembapkan mana-mana bahagian muka, sekurang-kurangnya sapu sedikit krim pada bahagian mata. Ia boleh memberikan kesegaran kepada anda.

Mengekalkan kelembapan pada bahagian ini sangat penting kepada orang yang lebih tua, namun tidak terlalu awal jika ingin mempraktikkannya sekarang. Anda tidak perlu membeli krim yang mahal. Gunakan pelembap yang biasa ataupun sapu sedikit minyak kelapa (coconut oil) sekitar mata anda.

3. Lembapkan Bibir

Lapisan kulit sekitar bibir tidak mempunyai kelenjar minyak sepertimana kulit yang lain, oleh itu bibir lebih cenderung untuk kering dan merekah. Gunakan lip balm ataupun minyak kelapa untuk mengekalkan kondisi bibir.

4. Guna krim tabir suria (sunscreen)

  • Kulit muka mudah terjejas dengan cahaya matahari, jadi penggunaan krim tabir suria amat penting.
  • Pemakaian cermin mata hitam juga boleh melindungi bahagian mata anda.

Langkah 3: Bercukur

Bercukur merupakan salah satu amalan ‘wajib’ bagi seorang lelaki yang maskulin. Namun, masih ada yang tidak mencukur bulu di muka mereka dengan cara yang betul sehingga mengakibatkan luka pada muka selepas bercukur. Adakah anda kerap mengalaminya? Ketahuilah langkah-langkah yang betul di bawah ini.

1. Guna pisau cukur yang berkualiti

  • Jika anda suka menggayakan fesyen sebagai lelaki berjambang ataupun misai, anda perlu menggunakan pisau cukur yang bermutu. Dapatkan pisau yang tajam, tahan lama, tidak mudah patah dan tidak mudah berkarat. Ia mungkin agak mahal, namun anda akan berpuas hati dengan kualitinya.
  • Jika anda menggunakan pisau cukur pakai buang, pastikan anda memilih pisau cukur yang mempunyai dua mata (double blade). Hal ini kerana pisau seperti itu jauh lebih efektif dan cukurannya lebih cantik.
  • Di pasaran sekarang berlambak dengan pelbagai rek bentuk pisau cukur termasuklah pisau cukur elektronik. Pastikan anda menggunakan dalam keadaan kulit yang kering. Pisau cukur yang biasa (straight razor) biasanya menjadi pilihan ramai, namun anda perlukan sedikit latihan agar tidak melukakan muka sendiri.

2. Mencuci dengan air suam

  • Air yang suam boleh melembutkan kulit muka dan rambut, malahan memudahkan anda untuk bercukur.
  • Cuci muka terlebih dahulu bagi menghilangkan kotoran dan bakteria sebelum bercukur.

3. Guna krim pencukur

  • Krim pencukur boleh melicinkan muka anda dan memudahkan pisau cukur mencukur. Jangan mencukur bulu dalam keadaan kering dan tanpa krim pencukur melainkan anda menggunakan pencukur elektronik.
  • Cuba dapatkan krim atau gel pencukur yang kurang kandungan kimianya, kerana dikhuatiriada bahan-bahan tertentu yang boleh memudaratkan keadaan kulit muka anda.
  • Jika boleh, biarkan seketika krim pencukur tersebut berada pada muka anda untuk beberapa minit sebelum anda mencukurnya.

4. Bercukur dengan kaedah yang betul

  • Anda tidak semestinya perlu tekan dengan kuat semasa bercukur. Jika pisau itu sudah tajam, anda hanya perlu alirkan sahaja mata pisau itu pada bulu yang ingin dicukur. Arah mencukur hendaklah mengikut arahnya, bukan lawannya.
  • Jika janggut ataupun misai anda sudah panjang dan kelihatan tidak terurus, potongnya sependek yang mungkin dengan gunting terlebih dahulu. Kemudian barulah mencukurnya dengan pisau cukur.

5. Bilas muka selepas bercukur

  • Selesai bercukur, pastikan anda membilas muka dengan air yang sejuk bagi mengurangkan kesan ruam atau kesan luka-luka kecil. Keringkan tempat cukur dengan menepuk perlahan-lahan dengan kain lembut, jangan menggosok!

6. Sapu pelembap kulit (moisturizer)

  • Anda digalakkan untuk menggunakan produk pelembap yang boleh mengurangkan kesan cukuran. Cuma pastikan produk tersebut tidak mengandungi kandungan yang boleh memudaratkan muka selepas bercukur.

 

Tips Penting!!!!

Sebagai satu bonus, berikut adalah beberapa tips tambahan yang boleh diamalkan untuk mendapatkan kulit muka yang bersih dan licin:

  • Ketika mencuci muka, utamakan dahi, pipi dan kawasan kening kerana tempat itu mudah untuk mengeluarkan peluh dan terdedah dengan bakteria.
  • Bilas keseluruhan muka dengan air sejuk selepas mencukur kerana boleh mengurangkan kesakitan dan menyegarkan muka.
  • Penggunaan air yang suam (jangan terlalu panas) boleh membantu mengembangkan liang pori dan memudahkan proses mencukur dan mencuci muka.
  • Gunakan produk pencuci muka yang sesuai dengan jenis dan keadaan kulit muka anda, lebih-lebih lagi bagi orang yang menghadapi masalah kulit sensitif.
  • Kerapkan minum air kosong dengan banyak agar kulit kekal lembap dan segar.
  • Pastikan pisau cukur sentiasa kering dan dijaga rapi. Gantikannya jika sudah karat atau patah.

Kesimpulan

Walaupun kami telah mendedahkan langkah-langkah penjagaan dan beberapa tips tertentu, namun anda perlu awasi beberapa perkara untuk mengelakkan berlaku sebarang masalah semasa penjagaan kulit muka anda. Antaranya adalah seperti :

  • Elakkan daripada menggunakan produk pencuci ataupun krim pencukur yang berasaskan alkohol kerana dikhuatiri boleh mengeringkan kulit dan memberikan kesan sampingan lain kepada kulit muka anda.
  • Gunakan exfoliating scrubs dengan berpada-pada kerana penggunaan yang berlebihan atau secara kerap boleh memberikan kesan yang buruk kepada muka dan mempercepatkan kedutan pada muka. Pastikan anda membaca panduan penggunaannya dengan teliti sebelum menggunakannya.
  • Anda akan dapat apa yang anda bayar. Perkara ini merujuk kepada produk penjagaan kulit dan produk-produk lain yang murah. Sekiranya anda menggunakan pisau cukur yang murah, janganlah pula marah sekiranya ia cepat tumpul. Biar mahal sedikit, asalkan berkualiti dan tahan lama.

• Meet the Author ➞ kitablelaki1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!