Kitab Lelaki

15 Tip Jadi Lelaki Yang Berketerampilan Dan Menyakinkan

Bosan dengan gaya berpakaian dan trend yang sama? Apa kata jika anda melakukan sedikit perubahan diri anda dalam penampilan berpakaian, gaya rambut dan kekemasan wajah anda agar nampak lebih metroseksual. Mungkin dengan gaya seperti ini anda akan mendapat sedikit keyakinan dalam diri anda asalkan kena dengan caranya.

Kami kongsikan 15 tip jadi lelaki yang berketerampilan dan menyakinkan bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan dari kaca mata kekasih ataupun isteri. Buat anda yang masih tercari-cari teman hidup, boleh ikuti tip-tip ini supaya wanita-wanita bujang di luar sana ‘cair’ melihat ketampanan anda.

Semoga bermanfaat dan selamat mencuba.

1. Pilih pakaian yang fit

Benda utama yang akan menampakkan lelaki ambil peduli dengan fesyen ialah melalui cara memilih baju. Masalah utama kebanyakan lelaki ialah memakai baju yang saiznya lebih besar daripada badan. Sekali-sekala pilih dan pakailah pakaian yang fit iaitu pakaian yang membuatkan badan anda rasa seolah-olah dipeluk tetapi bukan dijerut. Berhati-hati ketika memilih, fit bukan bermakna ketat, tetapi pakaian yang mengikut bentuk tubuh anda.

2. Mudah dan Kemas

Apabila bercerita tentang fesyen, bukan bermakna anda perlu berpakaian seperti seorang artis. Pakai pakaian yang simple pun sudah memadai. Amalkan mengayakan pakaian dengan tidak menggunakan lebih daripada tiga warna. Untuk nampak lebih menyerlah, pakailah blazer warna hitam atau putih yang fit. Pakai blazer tak semestinya kena pakai dengan kasut kulit dengan seluar slack. Pakai seluar jeans dengan t-shirt sahaja pun nampak kemas jika kena gayanya.

3. Santai 

Berpakaian santai bukan bermaksud pakai seluar pendek dengan singlet koyak. Dengan bahasa mudahnya berpakaian secara kasual. Untuk pelbagaikan variasi dalam berpakaian dan gaya, cuba banyakkan membaca buku-buku fesyen atau melihat program-program yang bersifat santai di televisyen.

4.Pakaian yang sepadan

Sentiasa pastikan anda berfesyen kena dengan gayanya. Duduk depan cermin dan tanya pada diri sendiri adakah anda nampak dengan apa yang anda pakai. Kalau anda sendiri dah rasa pelik, apatah lagi orang lain di luar sana. Jika sudah biasa dengan baju yang dibiar lepas keluar, sekali-sekala tidak salah anda tuck in baju tersebut agar nampak lebih kemas.

5. Shopping berteman

Jangan amalkan keluar shopping berseorangan. Ajak member seorang pun jadilah. Tapi member bukan sekadar member, cari member yang boleh bagi pendapat jujur. Kata-kata member lagi boleh dipercayai berbanding penjual berkenaan.

6.Sentiasa peka

Jangan terlebih berfesyen kerana pasti akan buat anda nampak cacat, tapi jangan takut untuk berfesyen. Sentiasa fikir apakah event yang anda akan pergi. Kalau dah bercadang nak pergi ke tempat yang panas, takkan nak pakai sweater yang tebal. Jika anda pergi ke event yang dihadiri oleh bos anda, takkan anda nak nampak lebih menyerlah berbanding bos anda. Silap-silap bulan depan dapatlah surat berhenti kerja.

7. Jangan mengabaikan benda yang remeh

Lelaki biasanya akan menganggap benda remeh tidak perlu dititikberatkan misalnya seperti cara pemakaian scarf. Pemakaian scarf biasanya nampak lebih lembut dan kewanitaan. Tetapi sebenarnya benda yang anda rasakan remeh itulah yang mampu memberikan impak yang besar kepada penampilan anda.

8. Belanja lebih untuk kasut

Apa salahnya jika berbelanja lebih untuk sepasang kasut. Tetapi jangan beli yang mahal-mahal, tetapi tidak tahu cara menjaganya. Tahukah anda bahawa kaum lelaki sekalian bahawa mata perempuan ni biasanya akan melihat kasut yang dipakai lelaki. Sama ada cantik atau tak cantik, bersih ke tak dan sesuai ke tak. Macam mana nak kagumkan teman wanita kalau kasut kotor. Kasut melambangkan identiti diri. Kotor kasut, pemalaslah anda.

9.Berhati-hati memilih t-shirt 

Jika memilih untuk memakai t-shirt, jangan amalkan memakai t-shirt yang mempunyai logo yang besar kerana anda akan dilihat seperti diupah oleh syarikat tertentu untuk menjadi papan iklan bergerak.

10.Jangan terikut-ikut trend 

Jangan biasakan mengikut sangat trend masa kini kerana trend tidak akan kekal lama dan sentiasa berubah-ubah. Kekal dengan citarasa yang anda suka. Kerana tiada guna kalau membeli pakaian mengikut trend semasa tetapi jarang memakainya atau tersimpan lama menjadi pekasam.

11.Jangan beli kerana jenama

Sebelum anda beli sesuatu pakaian, pastikan anda bertanya kepada diri sendiri sama ada anda membeli kerana mementingkan jenama pakaian tersebut atau kerana ingin tampil kemas bergaya. Biar beli pakaian yang murah asalkan smart berbanding beli pakaian mahal tetapi nampak buruk macam kain lap kat dapur.

12. Bentuk gaya tersendiri

Cuba bentuk style atau gaya anda yang tersendiri. Bukan bermakna anda perlu berhias seperti Lady Gaga tetapi cuba jadi seseorang yang kalau disebut sahaja nama anda, kawan-kawan akan mula berfikirkan tentang cara pemakaian anda yang stylo.

13. Jangan malu untuk meminta pendapat

Rajin-rajinkan diri untuk bertanya dengan orang terdekat sama ada apa yang anda pakai itu kena dengan gayanya atau sebaliknya. Tapi mestilah bertanyakan kepada orang yang boleh memberi pendapat dengan sejujurnya.

14. Pastikan muka bersih dan kemas

Berpakaian kemas dan stylo tidak guna juga jika anda kurang mementingkan penjagaan muka. Perhatikan wajah anda, terutama sekali pada janggut. Ada nampak terurus? Bulu hidung tu ada terkeluar-keluar? Sideburn tu ada nampak macam Elvis Presley? Pastikan muka nampak bersih dan kemas. Buang segala bulu roma yang dirasakan menyemak dan jika anda memilih janggut atau misai, pastikan anda cukurkannya dengan rapi. Pemilihan pencukur juga amat penting.

15. Bereksperimen dengan gaya

Jangan takut untuk memakai sesuatu yang baru. Jika selalunya anda pakai baju yang besar dari saiz badan, cuba pakai baju yang fit untuk nampak lebih tegap dan sasa. Jika selalu anda sikat rambut belah tepi, apa kata cuba sikat rambut ke belakang untuk nampak lebih segar, bertenaga dan berani. Semuanya terletak pada keberanian anda dan bukannya kepelikkan anda bereksperimen dengan gata.

• Meet the Author ➞ kitablelaki1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!