Kitab Lelaki

11 Tabiat Malas Lelaki Yang Dibenci Pasangan

Rumah bersepah, malas membasuh pakaian dan penampilan selekeh adalah perkara yang selalu dikaitkan dengan tabiat lelaki pemalas. Namun tidak semua lelaki digambarkan sebagai pemalas kerana ada juga lelaki yang mementingkan kekemasan dan ketelitian dalam banyak perkara. Walaupun tidak semua lelaki memiliki tabiat ini, tetapi sebahagian besarnya menunjukkan ciri-ciri tersebut sehingga mencerminkan bahawa lelaki adalah insan pemalas berbanding wanita jika tidak berubah.

Sikap pemalas lelaki ini boleh dikatakan bertitik tolak dari sifat semula jadi lelaki yang sentiasa mengambil mudah sesuatu perkara dan tidak suka melakukan perkara yang remeh atau bersikap kewanitaan.

Oleh itu, pada kali ini kami cuba kongsikan kepada anda 10 tabiat lelaki pemalas yang tidak disukai wanita berdasarkan pemerhatian dan pengamatan sisipan XY – Ikon Lelaki. Jadi, khususnya kepada anda yang sedang mencari jodoh, sudah berpasangan atau teman serumah yang sudah mula menunjukkan rasa bosan dengan anda, cubalah berubah ya!

Mahu tahu apakah antara habit atau tabiat malas yang paling tidak digemari oleh pasangan anda? Jom semak!!!

1. Pakaian Tidak Bercuci

Rata-rata lelaki bujang zaman sekarang lebih senang menghantar pakaian kotor ke dobi. Tidak kurang juga yang membasuh pakaian sendiri tetapi hanya selepas persalinan bersih dalam almari berkurangan.

Seeloknya pakaian perlu dicuci setiap tiga hari bagi mengelak bau yang kurang menyenangkan dan kemungkinan menjadi sarang bakteria atau kuman berkumpul. Silap-silap bukan sahaja orang lain yang menjauhkan diri kerana tidak tahan dengan bau pakaian anda, mungkin anda sendiri yang loya dan tidak dapat menerima keadaan diri sendiri.

 

2. Tidak Mencuci Pinggan Mangkuk

Sampai berulat dan berbau busuk barulah jejaka mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun dalam sinki dapur rumah. Tidak cukup dengan itu, kadang kala sampah juga tidak dibuang.

Bagi lelaki sebegini adalah elok jika makan di luar atau menggunakan pinggan mangkuk pakai buang saja. Lebih ekstrem, ada lelaki membuang pinggan kotor semata-mata malas menyentalnya dan esok beli pinggan mangkuk lain pula.

3. Rumah Bersepah
Percaya atau tidak, hampir kebanyakan lelaki bujang tidak mengemas rumah atau bilik sendiri selama berbulan-bulan lamanya selagi tiada tetamu yang datang ke rumah mereka. Ini kerana mereka tidak mengambil kira mengenai kebersihan rumah kerana bagi mereka rumah hanya sebagai tempat untuk melelapkan mata.

4. Malas Gosok Baju

Pasti semua pernah melakukan habit ini, pakai saja baju tanpa digosok! Mungkin kerana tidak cukup waktu kerana sudah terlambat atau memang lelaki malas untuk menggosok baju.

Seharusnya, lelaki mengambil sedikit ruang pada waktu malam atau lapang untuk menggosok semua baju yang perlu dipakai terutamanya untuk ke pejabat. Sesekali, apa salahnya bersiap awal dan melakukan sedikit ‘senaman’ dan mengeluarkan peluh sambil menggosok baju.

5. Tidak Bercukur

Bukan menjadi masalah untuk tidak bercukur kerana ada yang beranggapan lelaki berjambang dan bermisai lebih menarik perhatian. Cuma perlulah dijaga kebersihan diri dan jika ingin menyimpan jambang atau misai sekalipun, kemaskanlah sedikit. Jangan sampai diibaratkan menyimpan semak samun yang tak bertebas.

6. Rambut Kusust dan Berbau

Jika suatu masa dulu penjagaan rambut amat dititik beratkan dan rambut harus disisip rapi dan kemas. Namun kini rambut kusut adalah satu trend. Perlulah sesuai dengan diri dan jangan terlalu kusut hingga merimaskan mata memandang.

7. Ponteng Kerja atau Kuliah

Sikap sebegini paling banyak dikesan di kalangan lelaki. Kadang kala tiada sebab tertentu, lelaki cukup malas untuk bergerak dan melakukan kerja di pejabat atau kuliah. Ini perlu diatasi kerana setiap manusia perlu bekerja dan belajar.

Tanamkan sikap dan perasaan untuk mempelajari ilmu baru atau meningkatkan prestasi kerjaya demi membina keyakinan dan ekonomi masa depan yang stabil.

8. Kenderaan Kotor

Bagi lelaki yang ada bajet, mereka boleh mencuci kenderaan mereka di pusat mencuci kereta jika malas melakukannya sendiri. Jika tidak alamatnya berharap pada air hujan sahajalah yang dapat membersihkan kekotoran pada kenderaan mereka.

9. Bangun Lewat
Lelaki jika sudah tidur, seolah-olah tidak mahu bangun selama-lamanya terutamanya jika hujung minggu atau pada hari cuti. Tambah-tambah liatnya jika perlu bangkit untuk ke tempat bekerja atau menghadiri kuliah pagi. Apa yang dibayangkan mereka hanyalah soal kesesakan lalu lintas pada pagi hari selain malas bersiap-siap untuk keluar rumah.

10. Tidak Terurus

Walaupun kelihatan seperti suatu rutin, namun ada perkara yang sering lelaki terlepas pandang. Dari segi penjagaan muka hingga seluruh badan, ia seharusnya diambil kira lelaki.

Jangan malas untuk mencuci muka, memotong kuku dan memakai wangian. Walaupun nampak remeh dan agak leceh, tidak salah jika anda tampil kemas, bersih dan wangi. Hakikatnya, setiap wanita mendambakan lelaki jenis yang kemas dan pembersih.

11. Malas Membaca

Jika mengikut perangkaan, wanita adalah golongan yang paling banyak membaca walaupun corak pembacaan mereka agak berbeza dengan lelaki. Namun dari kecil hingga dewasa lelaki adalah insan yang paling malas untuk membaca, apatah lagi membeli bahan bacaan.

Perlu diingatkan, jika ingin berjaya dalam kehidupan kita perlu banyak membaca. Jika boleh, corak atau genre pembacaan lelaki biarlah pelbagai. Oleh itu, sebagai lelaki kita seharusnya merubah persepsi wanita terhadap kita, berubah dari zon selesa agar tidak terus dipandang pemalas.

• Meet the Author ➞ kitablelaki1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!